Kerajaan akan
patahkan tuduhan Pas
KUALA KEDAH: Tuduhan Pas kononnya Malaysia bukan
negara Islam yang dijangka digunakan sebagai bahan kempen untuk meraih undi
pada pilihan raya Indera Kayangan, akan dipatahkan Barisan Nasional (BN)
melalui penjelasan dari rumah ke rumah.
Penasihat Agama Perdana Menteri, Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman berkata, Pas
dijangka menggunakan isu berkenaan untuk mengelirukan pengundi, khususnya
pengundi Melayu untuk mendapatkan undi.
Beliau berkata, jentera pilihan raya BN akan bergerak dari rumah ke rumah
untuk menjelaskan Malaysia adalah negara Islam melalui penggunaan sumber al-Quran
dan hadis, selain takrif mengenai negara Islam yang dijelaskan ulama tempatan
dan asing.
Pengundi Melayu di Indera Kayangan tidak seharusnya terpengaruh dengan dakyah
Pas yang menafikan Malaysia adalah negara Islam kerana kerajaan sudah
menjelaskan negara ini sememangnya diiktiraf oleh pelbagai negara lain sebagai
negara Islam.
“Dua juzuk penting dalam pentadbiran negara Islam sudah dilaksanakan oleh BN
sejak selepas negara kita mencapai kemerdekaan, iaitu menghapuskan kemiskinan
dan mewujudkan keamanan.
“Malaysia bukan setakat diiktiraf sebagai negara Islam, malah dijadikan
contoh oleh negara Islam yang lain. Kita berjaya mewujudkan keamanan dan
memberikan penghidupan yang selesa untuk rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis Mesra Nelayan dan Sambutan Aidilfitri
anjuran Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kedah, di Kompleks LKIM, di sini
semalam.
Majlis itu dihadiri kira-kira 500 nelayan yang turut berdialog dengan Abdul
Hamid mengenai masalah nelayan. Turut hadir ialah Pengarah LKIM negeri, Mohd
Zaruddin Abdul Rejab.
Dialog itu bertujuan membolehkan Abdul Hamid mengetengahkan masalah nelayan ke
peringkat Kerajaan Persekutuan, sekali gus membantu mengatasinya.
Pas menolak pengisytiharan negara Islam oleh Perdana Menteri dengan alasan
Perlembagaan negara tidak berpaksikan kepada al-Quran